Friday, February 10, 2012
Alunan - part 24
Adi berada di dalam kapal terbang. Matanya tidak lepas melihat kepulan-kepulan awan di langit. Fikirannya menerawang jauh. Sangat jauh sehingga mampu menembusi molekul-molekul awan tersebut.
"Baiklah Adi mainkannya sekarang." Latif Saari memberi arahan.
Adi mula meniup serulingnya. Seketika kemudian Latif memberi isyarat tangan pada Rauf dan Sarah pula.
Rauf dan Sarah bermain alat musik masing-masing mengiringi alunan musik Adi. Latif memejamkan matanya. Dia menghayati setiap bibit-bibit bunyi yang keluar dari alat musik anak muridnya. Apabila dia merasakan sesuatu yang tidak kena lantas dia memberi isyarat untuk berhenti. Ketiga-tiga anak muridnya terus berhenti bermain. Mereka tahu mereka pasti sudah membuat kesilapan. Mereka bertiga menanti ulasan Latif Saari.
Latif Saari mengeleng kepalanya. "Berapa kali cikgu mau cakap? Seragam! Seragam! Seragam! Ada telinga guna telinga. Jangan ikut suka kamu main. Itu syok sendiri namanya. Kamu bukan buat persembahan solo. Kamu buat berkumpulan." marah Latif Saari. Memang begitulah caranya dia mengajar orang. Semasa mengajar dia tidak akan mengira umur. Semua akan dimarahinya jika buat silap. Mungkin sebab itulah kumpulan okestra bimbingan begitu berjaya di persada dunia.
"Cikgu, saya nak tanya. Tak bolehkah kalau saya jadi starter?" tanya Rauf. Dia memang gemar untuk menjadi pembuka. Dia beranggapan pembuka adalah ketua dan pemain musik utama diatas pentas. Itu sebab dia tidak berpuas hati jika Adi yang jadi pembuka.
"Tak, tak payah. Kali ini biarlah Adi yang mulakan dahulu." kata Latif. Rauf memuncungkan bibir. Ah dengki betul dia. Hatinya sakit. Dia melihat muka Adi. Adi senyum dan mencebik kearahnya. Padan muka! Itulah yang cuba dikatakan Adi kepada Rauf.
Hari demi hari mereka bermain musik. Mereka sudah cukup terlatih. Namun yang diberi peluang untuk membuat persembahan di majlis-majlis hanya Rauf Arman dan Elisa Sarah. Ini menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam diri Adi. Sudah banyak kali dia meminta untuk diberikan peluang namun Latif Saari sering sahaja menolak permintaannya dengan alasan dia belum cukup bersedia. Sudah bertahun dia dilatih masih lagi dikatakan tidak bersedia? Untuk tujuan apa dia disimpan? Dia masih tidak mengerti apa yang difikirkan oleh gurunya itu. Tambah menghairankan lagi apabila mereka sering dilatih bersama, secara berkumpulan akan tetapi apabila membuat persembahan di mana-mana majlis dia tidak dijemput untuk membuat persembahan malahan Rauf dan Sarah pula bukan membuat persembahan bersama tetapi secara solo.
Ia bagaikan satu teka-teki. Semakin difikir semakin merunsingkan kepalanya. Bagi Adi gurunya itu penuh dengan misteri. Walau mereka bertahun-tahun tinggal bersama dengan gurunya, dia masih lagi tidak memahami gurunya itu.
......................................................................................
Setelah hampir 30 jam dari Lapangan terbang Antarabangsa Bayan Lepas, akhirnya kapal terbang yang dinaiki oleh Adi dan Robert tiba di Vienna. Suatu perjalanan yang meletihkan. Tambahan pula ini kali pertama Adi mengembara ke luar negara sudah pasti dia tidak biasa.
Sampai sahaja disitu mereka mencari sebuah teksi. Akhirnya mereka sampai di apartmen kepunyaan Robert di Lassallestrasse. Malahan situ juga tidak jauh dari Stephansplatz iaitu pusat bandar. Mudah untuk ulang-alik ke pejabat kata Robert. Walaupun Adi tertanya-tanya pekerjaan yang dilakukan Robert tapi dia tidak suka mengambil tahu hal orang, dia hanya memikirkan halnya sendiri dan apa yang penting dia perlu tahu cara hidup orang Austria. Mudah untuk dia menyesuaikan diri kelak.
Labels:
Alunan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment