Friday, February 10, 2012

Alunan - part 24




Adi berada di dalam kapal terbang. Matanya tidak lepas melihat kepulan-kepulan awan di langit.  Fikirannya menerawang jauh. Sangat jauh sehingga mampu menembusi molekul-molekul awan tersebut.

"Baiklah Adi mainkannya sekarang." Latif Saari memberi arahan.

Adi mula meniup serulingnya. Seketika kemudian Latif memberi isyarat tangan pada Rauf dan Sarah pula.
Rauf dan Sarah bermain alat musik masing-masing mengiringi alunan musik Adi. Latif memejamkan matanya. Dia menghayati setiap bibit-bibit bunyi yang keluar dari alat musik anak muridnya. Apabila dia merasakan sesuatu yang tidak kena lantas dia memberi isyarat untuk berhenti. Ketiga-tiga anak muridnya terus berhenti bermain. Mereka tahu mereka pasti sudah membuat kesilapan. Mereka bertiga menanti ulasan Latif Saari.

Latif Saari mengeleng kepalanya. "Berapa kali cikgu mau cakap? Seragam! Seragam! Seragam! Ada telinga guna telinga. Jangan ikut suka kamu main. Itu syok sendiri namanya. Kamu bukan buat persembahan solo. Kamu buat berkumpulan." marah Latif Saari. Memang begitulah caranya dia mengajar orang. Semasa mengajar dia tidak akan mengira umur. Semua akan dimarahinya jika buat silap. Mungkin sebab itulah kumpulan okestra bimbingan begitu berjaya di persada dunia.

"Cikgu, saya nak tanya. Tak bolehkah kalau saya jadi starter?" tanya Rauf. Dia memang gemar untuk menjadi  pembuka. Dia beranggapan pembuka adalah ketua dan pemain musik utama diatas pentas. Itu sebab dia tidak berpuas hati jika Adi yang jadi pembuka.

"Tak, tak payah. Kali ini biarlah Adi yang mulakan dahulu." kata Latif. Rauf memuncungkan bibir. Ah dengki betul dia. Hatinya sakit. Dia melihat muka Adi. Adi senyum dan mencebik kearahnya. Padan muka! Itulah yang cuba dikatakan Adi kepada Rauf.

Hari demi hari mereka bermain musik. Mereka sudah cukup terlatih. Namun yang diberi peluang untuk membuat persembahan di majlis-majlis hanya Rauf Arman dan Elisa Sarah. Ini menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam diri Adi. Sudah banyak kali dia meminta untuk diberikan peluang namun Latif Saari sering sahaja menolak permintaannya dengan alasan dia belum cukup bersedia. Sudah bertahun dia dilatih masih lagi dikatakan tidak bersedia? Untuk tujuan apa dia disimpan? Dia masih tidak mengerti apa yang difikirkan oleh gurunya itu. Tambah menghairankan lagi apabila mereka sering dilatih bersama, secara berkumpulan akan tetapi apabila membuat persembahan di mana-mana majlis dia tidak dijemput untuk membuat persembahan malahan Rauf dan Sarah pula bukan membuat persembahan bersama tetapi secara solo.

Ia bagaikan satu teka-teki. Semakin difikir semakin merunsingkan kepalanya. Bagi Adi gurunya itu penuh dengan misteri. Walau mereka bertahun-tahun tinggal bersama dengan gurunya, dia masih lagi tidak memahami gurunya itu.

......................................................................................

Setelah hampir 30 jam dari Lapangan terbang Antarabangsa Bayan Lepas, akhirnya kapal terbang yang dinaiki oleh Adi dan Robert tiba di Vienna. Suatu perjalanan yang meletihkan. Tambahan pula ini kali pertama Adi mengembara ke luar negara sudah pasti dia tidak biasa.

Sampai sahaja disitu mereka mencari sebuah teksi. Akhirnya mereka sampai di apartmen kepunyaan Robert di Lassallestrasse. Malahan situ juga tidak jauh dari Stephansplatz iaitu pusat bandar.  Mudah untuk ulang-alik ke pejabat kata Robert. Walaupun Adi tertanya-tanya pekerjaan yang dilakukan Robert tapi dia tidak suka mengambil tahu hal orang, dia hanya memikirkan halnya sendiri dan apa yang penting dia perlu tahu cara hidup orang Austria. Mudah untuk dia menyesuaikan diri kelak.

Thursday, February 9, 2012

Kelip2 di hujung desa

Miyul dan Adira, mereka berdua adalah sahabat baik.  Masing-masing berumur 6 tahun dan hidup berjiran di Kampung Sungai Tonggak. Perwatakan Miyul agak lembut dan manja. Dia sering sahaja dibuli oleh kanak-kanak di kampung tersebut. Berbeza dengan Adira, dia bersifat ganas dan kasar. Setiap kali Miyul dibuli, Adira akan datang membantu. Dia menggelarkan dirinya SuperDira!

"Miyul, janganlah lembik sangat. Sebab Miyul lembiklah diorang tu suka buli Miyul." kata Adira yang berada disisi Miyul. Tika ini Miyul sedang menangis teresak-esak. "Ajib dan geng busuk dia tu memang camtuh. Mentang-mentanglah Miyul sorang-sorang." Miyul berusaha mengesat air matanya. Adira memerhatikan Miyul. Dia senyum.

"Tak pa, SuperDira akan sentiasa melindungi orang lemah! SuperDira kan kuat" Adira cuba membangkitkan semangat Miyul. Ternyata berkesan apabila Miyul turut menyokongnya. "Ya! Hidup SuperDira!!"

"Jom balik, Adira laparlah. Nanti malam boleh kita ajak Pak Man tengok kelip-kelip." Adira menyentuh perutnya dengan sebelah tangan. Itu menunjukkan dia lapar.

"Okay!" Miyul bersetuju. Mereka berjalan pulang sambil berpegang tangan. 

------------------------------------------------------

"Okay kita dah sampai bangsal." kata Pak Man. Setiap hujung minggu sememangnya Pak Man akan membawa Miyul dan Adira ke hujung desa melihat kelip-kelip. Walaupun tiada hubungan kekeluargaan diantara dia dan dua orang anak kecil itu tapi Pak Man sudah menganggap kedua itu seperti anaknya.

"Miyul, tutup torchlight tu." bisik Adira. Segera Miyul matikan cahaya lampu suluhnya.  Seketika kemudian banyak kelip2 muncul di celah rimbunan pohon dan pokok. Mereka leka memerhatikannya. Apabila kelip-kelip tersebut mendekati mereka. Mereka mengibas-mengibasnya sambil ketawa riang. Pak Man turut ketawa. Dalam hati Pak Man alangkah indahnya menjadi kanak-kanak. Tidak perlu dibebani dengan
masalah orang dewasa. Hidup mereka lapang dan mudah.

"Yak!Puih!" Miyul meludah ke tanah. Kelip-kelip masuk dalam mulutnya. Adira ketawa terbahak-bahak.  Miyul marah di tolak sedikit bahu Adira. Walaubagaimanapun Adira masih lagi mentertawakan Miyul. Jahat sunguh Adira kata Miyul dalam hati.

.......................................................................................

"Dira oh Dira, cepatlah siap! Kita harini nak datang awal ke tadika." jerit Miyul dari luar rumah Adira. Adira menjenguk keluar melalui jendela. Dimulutnya terdapat biskut, muka penuh dengan bedak.

"Tunggulah!" jerit Adira.

 Ibu Adira menarik Adira. "Ish kamu nih...jangan banyak bergerak boleh tak. susah ibu nak betulkan rambut kamu." sambil itu dia menyikat-nyikat rambut Adira.

Miyul berasa bosan menunggu. Lalu dia ingin mengambil keputusan untuk meninggalkan Adira.

"Adira lambat! Miyul pergi dulu!!!" Berlari-lari Miyul meninggalkan perkarangan rumah Adira.

Adira menghentak-hentak kakinya. Dia marah kerana ibunya lambat menyiapkannya.

"Yolah, yolah..siap dah...meh salam tangan ibu." Ibu Adira menghulurkan tangan. Adira menyambut cium tangan dan pipi ibunya. Selepas itu dia segera memakai kasut sekolah yang kecil dan berlari-lari menuju ke tadika. Dalam perjalanan dia terlihat kelibat Miyul. Miyul menangis teresak-esak. Adira mendekati Miyul.

"Kenapa ni Miyul?" tanya Adira.

Miyul menunjuk jari kecilnya itu kearah seekor anjing. Anjing itu sedang mengeram seakan-akan mahu menerkam orang. "Miyul takut anjing!" adu Miyul. Lantas Adira mengambil batu lalu dibalingnya kearah anjing tersebut. Menjerit-jerit anjing tersebut lalu meninggalkan mereka.

"Tengok dah lari dah anjing tu. Miyul berhenti menangis ya?" Adira menepuk-nepuk belakang Miyul. Miyul angguk-angguk kecil.

"Itulah tadi tinggalkan Dira. Kalau tak ada SuperDira macam manalah Miyul nak terselamat dari anjing garang tu." kata Adira bangga. Miyul tersenyum, sekejap sahaja dia berhenti menangis. "Jomlah Adira. Lambat nanti."

.................................................................................................

Miyul dan Adira berjalan balik pulang dari tadika. Mereka bergelak ketawa, ada sahaja cerita lawak mereka.
Tiba-tiba berhenti sebuah motor. Kak Zeti berbadan besar menegur mereka.

"Dah habis tadika ke?" Kak Zeti suka menyakat Miyul dan Adira. Ini kerana mereka comel. Persahabatan mereka juga kiut dan manis.

"A'ah kita orang belajar negeri-negeri tadi." kata Miyul Dia begitu teruja dengan apa yang dibelajarnya di tadika. Kak Zeti mengganguk-angguk tanda faham.

"Cepatlah naik, akak tumpangkan ke rumah." Kak Zeti mempelawa mereka berdua. Miyul duduk di bakul dan Adira duduk di belakang Kak Zeti sambil memegang erat tubuh wanita itu.

Kak Zeti memacu motornya.

.............................................................................................

Petang itu Adira dan Miyul berjalan keluar. Mereka bercadang untuk pergi ke warung Pak Jahar. Di situ mereka boleh lepak-lepak makan ais krim bersama. Sampai sahaja di warung Pak Jahar mereka berdua memesan ais-krim kegemaran mereka bersama Ais Krim perisa kiwi.

Disebabkan warung Pak Jahar berdekatan dengan pantai jadi mereka mengambil keputusan untuk melepak disitu. Mereka duduk diatas sebuah batu karang yang besar.

"Dira, cuba tengok tu!" Miyul menghalakan tangan kanannya ke tengah laut.  "Tengok apa? Tak nampak apa pun." Adira cuba mengecam. Badannya sedikit terbongkok kehadapan. Miyul secara senyap mendekatkan ais krimnya begitu hampir dengan pipi Adira. "Sinilah!" Miyul cuba mendapatkan perhatian Adira.

"Ma..." Adira memusingkan kepalanya lalu pipinya terpalit aiskrim  Miyul. Miyul ketawa besar.  "Padan muka Dira..pipi kena aiskrim." Miyul berlari jauh dari Dira, Adira mengejar Miyul cuba untuk membalas dendam.

.............................................................................

Suatu hari, ketika Miyul main seorang diri di padang, Ajib dan kawan-kawannya datang. "Miyul Pondan suka main ngan perempuan!" mereka mengapi-apikan Miyul. Pada awalnya Miyul cuba untuk tidak melawan akan tetapi apabila mereka mula menyentuh-nyentuh badan Miyul. Miyul menjadi marah. Dia cuba menyerang Ajib tetapi terhenti apabila dia mendengar jeritan Adira.

"SuperDira datang!!!!" ditangan Adira terdapat sebatang kayu. Berlari rakan-rakan Ajib. Tetapi tidak Ajib. Dia berdiri teguh. Dia fikir dia adalah lelaki dan tidak perlu takut pada perempuan. Sedang mereka bertentang mata tiba-tiba datang seorang lelaki bengis. Dia kelihatan mabuk. Dia menumbuk tumbang Ajib. Lelaki terbabit ketawa. Dia kemudiannya menyepak-nyepak badan Ajib. Miyul hanya mampu melihat sahaja, dia sangat takut. Adira laju menuju kearah lelaki tersebut. cuba menghalang tindakan lelaki tersebut dengan kayunya.  Namun lelaki tersebut berjaya menahan serangan Adira. Dia merampas kayu dari Adira. Adira mengeletar. Lelaki itu mengangkat tangan tinggi ke langit cuba untuk melibas Adira dengan batang kayu tersebut. Mujur Miyul melompat masuk mengambil posisi Adira. Kepalanya dilibas kuat.  Dia tumbang. Darah keluar dari kepalanya sangat banyak.

Apabila melihat darah yang banyak keluar dari kepala Miyul. Lelaki tersebut melarikan diri. Adira merapati Miyul. Dia cuba menghentikan pendarahan pada kepala Miyul dengan lengan bajunya.

"Dira.." sayu dia melihat Adira yang cuba sedaya upaya membantunya.

"Mi..Miyul..miyul tahan ya...nanti ada orang datang tolong Miyul." menitis-nitis air mata Adira. Dia dapat merasakan kesakitan yang dialami Miyul.

Perlahan tangan kecil dan comel Miyul menyentuh pipi gebu Adira. "Dira jangan menangis..Miyul tak apa-apa..Miyul kuat..Miyul nak jadi macam Dira.." matanya yang berkaca melihat tepat wajah Adira. Wajahnya pucat. Nafasnya tersangkut-sangkut.

Adira bagai tidak mampu berkata apa-apa. "Erm...betul Miyul kuat! Miyul berani! Miyul jangan tinggalkan Dira ye?.." ujar Dira mengesat-ngesat air matanya yang berjurai-jurai di tepi pipinya. Melihatkan keadaan Miyul yang parah, timbul kerisauan dalam hati Adira. Dia risau dia akan kehilangan sahabat karibnya itu.

"Miyul..Miyul takkan tinggalkan Dira..Miyul kan kawan Dira..." ujar Miyul. Kemudiannya dia mengerang kesakitan. Kesakitan dirasakan bertambah perit.

"Miyul...." Adira tidak dapat menghabiskan kata-katanya...Dia terlalu sedih melihat keadaan Miyul....Miyul hampir-hampir melelapkan matanya.

"Miyul..Miyul kena janji dengan Dira..Nanti kita akan sama-sama tengok kelip-kelip."

Miyul senyum. Seolah-olah mengatakan bahawa dia akan mengotakan janji itu.

Kemudian perlahan-lahan dia menutup kedua kelopak matanya. Adira memanggil-manggil namanya. Suara Adira didengarnya sayup. Semakin sayup dan akhirnya sudah tidak kedengaran lagi.

"Miyuul!!!!"

Adira mengerak-gerakkan tubuh Miyul. Miyul tidak lagi menunjukkan apa-apa reaksi. Adira menangis teresak-esak. Sehinggalah dia  keletihan lalu membaringkan tubuhnya disisi Miyul......ternyata Miyul sudah tidak terjaga lagi.......

.........................................................................

"Semenjak si Miyul tu tak ada, Adira macam tulah. Menjadi pendiam, kurang aktif. Makan pun sudah kurang sekarang. Rindu betul dia pada Miyul." kata ayah Adira kepada Pak Man. Pak Man memerhatikan Adira.  Dia banyak termenung di muka pintu. Mungkin menanti kehadiran Miyul. Pak Man menggelengkan kepalanya. Dia mendekati Adira.

"Jom Adira kita pergi ke bangsal dekat hujung desa tu." pelawa Pak Man. Adira melihat dalam muka Pak Man. Dia bersetuju.

Di bangsal tersebut, Adira masih lagi berdiam diri. "Ala, Pak Man terlupa, siang-siang mana ada kelip-kelip.."
Pak Man cuba menarik perhatian Adira. Adira sedikit pun tidak berkata apa. Hanya diam membatu merenung pohon-pohon disitu.

"Pak Man tengok Adira banyak muramlah sekarang. Adira rindu Miyul ye?" Pak Man membuka topik. Adira memeluk laju tubuh Pak Man yang kering itu. Dia menangis teresak-esak. Benar, dia teramat rindukan sahabatnya itu. Hanya Miyul sahajalah teman dia bermain. Jika tiada Miyul maka kosonglah hidupnya.

 "Pak Man...Miyul tipu...Dia tipu Dira..Dia kata dia nak tengok kelip-kelip dengan Dira!!..Tapi sampai sekarang dia tak ada...Dia tinggalkan Dira sorang-sorang..Miyul penipu...tipu..." Tangisannya semakin galak. Emosi dan jiwanya terganggu. Dia tidak mampu menanggung kesunyian.  "Sudah-sudah tak baik nangis." pujuk Pak Man. Pak Man mengesat air mata yang mengalir di pipi Adira. Dia membaringkan kepala Adira ke atas pehanya.

"Pak Man..kenapa mesti Miyul meninggalkan Dira?"

Pak Man hanya diam. Dia membiarkan sahaja Dira melayan emosinya.

"Dira dekat sini rupanya." tiba-tiba satu suara menyebut namanya. Suara itu yang cukup dikenali Adira.
Dia mengangkat kepalanya. Dia melihat sebuah tubuh kecil. Senyumannya melebar. Laju air mata mengalir keluar. Air mata kegembiraan.

Miyul!

"Miyul boringlah tinggal dekat hospital. Tak ada apa-apa langsung. Kalau dekat sini boleh bermain dengan Adira." Miyul tersengih-sengih. Adira turut tersengih gembira. Iya dia sangat gembira, kembalian Miyul memberi sinar kembali kepada hidupnya.

Akhirnya mereka menunggu di hujung desa sehingga larut malam. Memerhatikan kelip-kelip di hujung desa..

__________TAMAT_____________________








Alunan- LATIF SAARI LOVE STORY (CERPEN)




"Kamu memang seorang anak muda yang berbakat Latif. Kamu berupakan aset. Bakat kamu itu adalah  harta intelek yang tidak akan dapat dimiliki oleh orang lain." puji Encik Daud seorang guru muzik.

 Ya. Latif Saari seorang yang amat berbakat dalam bermain alat muzik. Bagi sahajalah apa jenis alat muzik. Dia mampu kuasainya dalam beberapa hari. Di usia 17 tahun itu, dia sering diundang untuk membuat persembahan di majlis-majlis berprestij. Malah sudah beberapa kali dia keluar negara untuk mempersembahkan bakatnya. Dia terlalu pantas mengembangkan kariernya. Dia sememangnya hebat. Bayangkan dia sudah mampu menempa nama pada usia begitu muda.

Walaupun dia begitu masyur namun hakikatnya dia seorang yang pemalu. Lebih-lebih lagi dengan para gadis. Seringkali dia melarikan diri daripada bercakap dengan rakan perempuan di kelasnya. Dan jika bercakap pun dia hanya menjawab sepatah-sepatah apabila ditanya. Sebenarnya dalam diam dia meminati seorang gadis di kelas sebelah. Gadis itu pada pandangannya cukup sempurna. Berkulit putih, gayanya begitu lemah lembut, dan paling penting sekali gadis itu tidak tergedik-gedik seperti gadis lain yang cuba-cuba memikatnya. 

"Suatu hari nanti akan ku pastikan kau milikku Rosnah..." Latif ketawa sambil itu dia memerhatikan gadis tersebut membeli makanan di kantin. Di kantin tersebut Latif sudah menempa satu tempat khas yang membolehkan dia bertentangan dengan Rosnah. Rakan-rakan Latif banyak kali cuba memberi semangat kepada Latif untuk cuba memikat Rosnah. Akan tetapi Latif tidak mempunyai keberanian untuk berdepan dengan Rosnah. Rosnah baginya terlalu hebat untuk didekati. 

"Kau nih Latif, kau tu superstar kau tahu. Masakan takut nak bercakap dengan dia?" kata Suhaib salah seorang sahabat setia Latif. 

"Kau gila! Jelas sangatlah niat aku kalau aku cuba-cuba nak cakap dengan dia." Latif memberi alasan. 

"Habis tu? Kalau kau tak mulakan, macam mana kau nak berkenalan dengan dia. Takkan lah sepanjang tahun kau tengok dia aja. Melepas lah kau." kata Rudi pula. 

"Amboi, korang pulak lebih-lebih. Aku dah ada strategi baik punya. Aku rancang dari minggu lepas lagi. Cuma masalahnya aku nak tunggu masa yang begitu sesuai.." 

Latif tahu dia tidak boleh tegopoh-gopoh dalam memulakan perhubungan. Ini perlu dilakukan dengan begitu halus,terancang agar semua plannya berjalan dengan lancar. 

-----------------------------------

"Latif sudah-sudah lah bermain alat muzik kamu. Mari makan. Ibu ada masak masakan istimewa." jemput Puan Kiah, ibu kepada Latif Saari.

"Sekejap, Latif dah mula dapat rentak. Takut terlupa nanti." kata Latif yang berada di ruang tamu. Dia mengemaskan kedudukan biola pada bahunya. Apabila dia merasa selesa dia mula mengesek bow pada tali-tali biola. Mendayu-dayu alunan muzik keluar dari biolanya. Latif memejamkan matanya. Dia begitu menghayati. 

"Latif, Latif. Ada seseorang mencari kamu. Perempuan!" jerit ibunya. Ibunya sebentar tadi berada di dapur laju sahaja berada di muka pintu hadapan. Latif terpinga-pinga. Aduhai, kenapalah ibunya menjerit perkataan perempuan. Dia tahu jarang sekali perempuan mencarinya dirumah. Kalau adapun anak Mak Tejah Sayur . Itu pun dia masih kanak-kanak berumur 5 tahun yang sering datang untuk mendengar dia bermain alat muzik.

Dalam hati Latif tertanya-tanya siapalah pula yang datang mencarinya. Dia melangkah malas menuju ke pintu.
Ibunya kembali ke ruang dapur dan semasa berselisih dengan ibunya, ibunya menepuk bahunya. Sambil itu ibunya sengih dan membuat tanda bagus. Latif kenal benar perangai ibunya itu. Kuat menyakat! 

Terkejut besar dia apabila yang berada di hadapan pintu adalah Rosnah. Gadis yang dipuja-pujanya selalu. Ah sudah, apa mimpi dia hari ini? Dia cuba mencubit pehanya, sakit, ternyata ini bukan mimpi tapi realiti.

"Awak, saya nak pulangkan ini." Rosnah menghulurkan sebuah buku nota. " Maaflah, saya curi-curi pinjam buku awak. Sebenarnya bukan Anis yang hendak pinjam buku awak tapi saya. Saya dapat tahu awak memang hebat dalam penulisan. Itu sebablah saya pinjam." jelas Rosnah. Wah, hati Latif berbunga-bunga. Syukur pada tuhan, ia bagai satu takdir. Anis, Anis kau memang terbaik. Kau rakan aku the best of the best! Jerit Latif dalam hati.

"Oh yeke? Tak apalah." lantas dia terus mengambil buku notanya. Oh tidak. Latif terlupa dia pemalu orangnya. Tambahan pula di hadapannya ialah gadis yang paling dia minati. Mahu cakap apa? 

"Terima kasih ya awak." senyum Rosnah. Senyuman yang membunuh. Latif mampu pengsan sekarang sekiranya dia tidak kuat. Hatinya berdegup-dengup .  Peluh mula mengalir keluar. Dia tidak menyangka dia akan berdepan dengan situasi ini. Dia tidak bersedia langsung.  Latif cuba senyum.

"Ya, ya..err..kalau nak pinjam lagi, janganlah guna orang tengah dah. Awak boleh terus datang jumpa saya." Nasib baiklah dia tidak gagap pada hari itu. Kalau tidak malu sahajalah. Kau memang hebat, Latif puji diri sendiri. Latif sebenarnya cuba berlagak tenang padahal sebenarnya dia rasa seperti dia berada di medan perang. Hatinya berdegup kencang.

Rosnah mengganguk. "Okay."

Latif tersenyum lebar di dalam hati. Yes! Tiba-tiba dia merasakan tersangat lega. Semacam satu beban telah terlepas.

-----------------------------------------------

Di dalam kelas Latif kerap tersenyum dan tersengih berseorangan. Rakan-rakannya memang hairan dengan sikap Latif.

"Kau nih kenapa? Sejak akhir-akhir nih asyik tersengih-sengih saja." Rudi menyatakan kehairanannya. 

Latif pandang muka Rudi. Agak lama dia pandang tanpa berkata sesuatu. Rudi berkerut. Kenapa dengan mamat ni? Angau bercinta ke? Rudi menampar-nampar muka Latif. Tiba-tiba Latif tersedar. Dia meloncat.

"Oi! Oi! Tak ada kerja lain ke? Dok tampaq muka orang, nanti bila orang tampaq balik, menangis." 
marah Latif. Rudi dan Suhaib yang juga berada di situ ketawa. 

"Angau kau dah makin menjadi-jadi. Itulah, aku suruh kau jumpa  kemudian bercakap dengan dia, kau tak nak. Sekarang dah jadi gila semacam." kata Suhaib.

Latif ketawa. "Sudah tidak perlu. Simpan sahaja kata-kata korang tu. Aku kini dalam proses mengenal hati budi. Sekarang, kami saling berutus surat." kata Latif dengan begitu bangga.

"Ye lah tu Latif, Ingat kami nak percaya sangatlah." Suhaib mati-mati tidak percaya. Iyalah siapa percaya, sebelum ni bukan main malu nak berjumpa, tiba-tiba sekarang berutus surat pula.

 Anis mendekati meja Latif. Dia menghulur sepucuk surat kepada Latif. Latif menyambut lalu cepat-cepat menyeluknya ke dalam poket. Suhaib dan Rudi saling berpandangan. Latif mendongak sedikit dan mendada. Dia dengan bangganya berkata "Sekarang baru percaya ya."

------------------------------------------------------


Walaupun sudah lama mereka saling berutus surat. Akan tetapi hubungan mereka tidak lebih daripada hubungan seorang sahabat. Latif bermonolog.

"Sekolah sudah mahu tamat. Aku dan Rosnah masih lagi macam ini. Nak berjumpa, bagitahu aku suka dia, aku yang pula takut.  Aku kena buat sesuatu."

Tiba majlis graduasi sekolahnya, Latif diminta membuat sebuah persembahan. Dia menaiki pentas. Dengan berbaju kot hitam, bertali leher kupu-kupu. Di tangan kanan, dipegang erat biolanya. Seperti biasa, dia membetulkan kedudukan biolanya. Lalu dia berkata "Khas Untuk MU." Rosnah yang duduk di salah sebuah meja didalam dewan tersebut menjadi merah muka. Dia tahu Latif merujuk padanya.

Lantas Latif memainkan alat muziknya. Sungguh mengkhayalkan. Dia bermain dengan bersungguh-sungguh.
Rosnah tunduk. Dia berasa sebak tanpa sebab. Dia mengesat airmatanya. Jauh lubuk hatinya, dia berasa sangat gembira. Dia sangat suka apabila Latif bermain biola. Tambahan pula alunan biola itu dituju khas buatnya. Dia sangat-sangat tersentuh.

Sesudah Latif memainkan biolanya,

Latif mara menuju ke mikrofon. Dia mengetuk beberapa kali mikrofon tersebut untuk mengetahui mikrofonnya itu berfungsi atau tidak. Dia menarik nafas dalam-dalam lalu dihelanya. 

"Selama ini mungkin awak menganggap saya tidak lebih dari seorang sahabat. Tapi saya nak awak tahu, saya kalau boleh inginkan lebih dari itu..."

Semua orang yang berada didalam dewan menjadi terpinga-pinga. Mereka tidak tahu apa yang cuba diungkap oleh Latif. Bagi LAtif, ini sahaja peluangnya. Dia langsung tidak kira apa yang akan terjadi pada dirinya selepas ini. Apa yang penting dia perlu luahkan. Luahkan perasaannya.

"Awak, mungkin masa awak menulis surat tu awak tidak rasa apa-apa.  Tapi saya nak awak tahu, setiap detik, setiap huruf dan perkataan yang saya tulis pada surat-surat tu, jantung saya berdegup laju, selaju keretapi di landasannya..Saya ...sering berharap awak jatuh hati pada saya. Dan awak...Saya Nak Awak tahu saya Cinta pada Awak.  Saya cinta Rosnah Azlina binti Idris!"

Semua didalam dewan tersebut terkejut besar. Rosnah berlari keluar. Dia sungguh tidak sangka. Latif yang dikenalinya itu pemalu. Ah kalaulah tiada orang sudah pasti dia juga berkata begitu pada Latif.Di luar, dia menyorok satu tempat. Di situ dia menangis. Entah mengapa dia mesti menangis dia pun tidak pasti. Adakah sebab terharu?

Latif turut berlari keluar. Ramai yang cuba menahannya sebenarnya. Tapi entah mengapa mereka melepaskan Latif begitu sahaja. Di luar dewan, Latif tercari-cari Rosnah. Apabila dia nampak Rosnah duduk bawah sebatang pokok, dia senyum. Laju menuju ke arah Rosnah. Tetapi dalam hatinya dia risau. Kalau-kalau Rosnah membenci dirinya. Rosnah akan menjauhi dirinya. Oh tidak, dia tidak sanggup.

Apabila sampai di hadapan Rosnah. Dia senyum.

"Awak...maafkan saya. Jangan menangis." Latif cuba memujuk.

Rosnah bangun, dia penepuk-nepuk pasir dan debu dipunggungnya. Dia mengetap bibir, kononnya dia marah.  Tiba-tiba dia menyekeh kepala Latif. Latif menjerit sedikit. Rosnah tersenyum.

"Macam perempuan. Awak ni kan! Awak buat saya malu tahu tak. Depan cikgu-cikgu, kawan-kawan...ee geram saya." Rosnah cuba buat-buat marah.

"Saya cuba nasib. Tapi tak sangka umpan tak mengena." Latif bagai mengalah.

"Siapa kata tak mengena?" muka Rosnah menjadi merah. 

"Hah?" Latif buat-buat tidak faham.  

"Amboi dia, sudahlah malukan orang. Sekarang buat-buat tak faham pula? Saya pun cintakan awaklah. Sejak dari hari pertama kita berutus surat." kata Rosnah. 

Latif senyum girang lalu dia melompat.  Sudah lama di tunggu saat-saat ini. Akhirnya Rosnah menerima cintanya. Sudah pasti selepas ini dia akan menjaga Rosnah sebaik-baiknya sehingga hujung nyawa.

---------------TAMAT--------------------










Tuesday, January 31, 2012

Alunan - part 23





Di Ipoh Perak. Adi bersama Ismail baru sahaja tiba di kota Ipoh. Mereka agak kepenatan. Hendak mencari rumah untuk disewa akan mengambil masa, jadi Adi mengambil keputusan untuk bermalam sementara di rumah Isteri Cikgu Latif Saari, Rosnah.

"Tidak menganggu bondakah?" tanya Adi ingin mendapat kepastian. Dia risau jika kehadirannya akan menyusahkan Rosnah.

Rosnah mengeleng kepalanya. "Haih, ganggu apa pula? Kamukan anak bonda."  Lega hati Adi apabila Rosnah berkata begitu.

Petang itu Ismail sudah pergi keluar kota. Adi tidak sangka bahawa Ismail mempunyai sahabat di Ipoh. Fikir Adi tidak lama lagi pasti Ismail akan memperolehi pekerjaan. Adi pula menyibukkan diri mengemas baju-bajunya. Sedang asyik mengemas baju di bilik. Rosnah masuk menyapa Adi.

"Uncle Robert gembira kamu balik ke Ipoh. Katanya dia ada benda hendak dibincangkan bersama kamu." kata Rosnah.

"Uncle Robert?" kelihatannya Adi sudah terlupa akan lelaki tersebut. Siapa dia? Puas dia cuba mengingati akan tetapi fikirannya terbatas.

Rosnah tergelak kecil. Dia dapat membaca air muka Adi. Pantas dia menerangkan.

"Uncle Robert tu kawan Cikgu Latif. Dialah yang menguruskan kerjaya Cikgu kamu tu." jelas Rosnah.

Adi mengangguk-angguk.

**********************************************

Adi dan Robert duduk disebuah pondok di hadapan rumah. Disitu lebih sesuai untuk membincangkan sesuatu kerana ia nyaman dan menyenangkan. Adi memerhati Robert. Lelaki tua berusia 60an namun masih segak berisi, berbadan tegap. Lelaki berketurunan cina ini mempunyai auranya tersendiri.

"Uncle pasti kamu tak kenal uncle kan?" Robert menduga.

Adi gelak. Dia mengiyakan.

"Itu tak penting, Uncle cuma nak cakap, uncle nak kamu ikut uncle pergi ke Vienna. Disitu ada sesuatu menanti kamu."

"Sesuatu menanti saya?" Adi tertanya-tanya. Perasaan ingin tahunya bertambah.

"Ya, disamping itu Uncle nak bangkitkan kembali jiwa musik yang dah lama mati dalam hati kamu itu. You will learns a lot of things there. dan Uncle pasti ia akan membantu kamu untuk bermain seruling dengan baik." Uncle Robert.

"Sekejap, siapa cakap saya nak bermain musik balik?" Adi membangkitkan persoalan

"Bukankah kamu hendak buat persembahan kelak?" jawab Robert

 "Tapi itu sudah tidak jadi." Adi cuba membangkang.

Robert pandang muka Adi. Kelihatan sangat serius. Adi menjadi serba salah.

"No. No. Ia akan jadi. Percayalah. Kamu bertiga dilahirkan untuk bermain musik. Kamu bertiga juga ditakdirkan untuk menggegarkan dunia musik! Dan kamu! tetap akan ikut uncle pergi ke Vienna. Muktamad! Kamu akan menyesal jika kamu tak pergi!"

Adi tidak dapat berkata apa-apa. Jika difikirkan ini mungkin peluangnya untuk membaiki kembali kehidupannya. Sudah lama dia hidup dalam kesusahan dan kegelapan. Dia pasti tuhan sudah menetapkan takdirnya di Vienna kelak.

"Kenapa di Vienna?" Adi cuba mengalih topik.

Robert ketawa. " Sebagai musician kamu perlu tahu kota Vienna ialah kota kelahiran para pemuzik agung. Semua pemuzik yang hebat-hebat bekerja di situ. Mozart, Ludwig Van Beethoven, Gustav Mahler, Fritz Kreisler."

Adi termanggu sebentar. Mampukah dia hidup disana. Tinggal di negara orang dengan ilmu serba kurang, pastinya ia akan menjadi perkara yang sukar baginya.

Alunan - part 22



Rauf tiba di sebuah restoran mewah. Dia melihat-lihat sekeliling. Begitu ramai orang. Dia mencari muka yang familiar baginya. Sebenarnya dia ingat-ingat lupa rupa Syed AIdil. Jika dikira, ini pertemuan yang ke dua.

Tidak jauh dari situ. Seorang lelaki mengangkat tangannya. Rauf pasti itulah orangnya. Lantas dia mendekati meja tersebut. Apabila sampai dia terus sahaja duduk walaupun Syed Aidil bangun untuk bersalaman dengannya. Pada pandangan Rauf, lelaki ini telah memusnahkan segalanya. Dialah penyebab mengapa konsert untuk gurunya tidak dapat dijalankan...dan dialah yang menyebabkan Elisa Sarah bersara awal. Lelaki ini perlu diajar!

"Kenapa nak jumpa aku?" tanya Rauf.

"Sarah sudah hilang. Aku call dia, dia tak angkat. Aku pergi rumah, dia tak ada. Itu yang aku panggil kau. Nak tau kalau2 kau jumpa dia" jelas Syed Aidil.

Rauf tergelak kecil. Dia membetulkan kedudukan kaca matanya. "Maaf, aku tak tahu. Sudah lama aku tak berhubung dengan dia." jawab Rauf.

Apa semua ini? Selepas Anis, Sarah pula yang hilang? Hati kecil Rauf mula terdetik kerisauan.

"Sehari sebelum dia hilang dia ada cakap. Dia dah ambil keputusan untuk tinggalkan kerjayanya....then lepas tu dia terus senyap. Aku risau Rauf. Aku tak nak apa-apa terjadi pada dia. Aku tahu dia tertekan. Aku tahu aku buat silap besar bila aku suruh dia buat pilihan." Syed Aidil mengeleng-geleng kepalanya kebawah. Dia tampak begitu menyesal.

Padan muka kau!!Sebelum ni taknak beringat. Kau sudah buat hati kawan aku terluka kau tau..Kau memang bangang. Rauf menyumpah-nyumpah dalam hati.

"Beginilah, aku akan cari dia cuba pujuk dia. Tapi kau kena janji dengan aku" Rauf mengenakan syarat.

 "Apa dia?"

Rauf berdiri. Dia senyum sinis.

"Kau jangan halang Sarah dari terus bermain alat musiknya!"

Monday, January 30, 2012

AluNan - part 21



"Maaf encik. Pesakit di wad tersebut telah pun keluar kelmarin" kata seorang jururawat yang berada di kaunter Hospital.

"Tak apalah. Terima Kasih" balas Rauf.

Pandangan Rauf menghala keluar hospital. Bermacam-macam persoalan bermain di mindanya. Kemana perginya Anis? Kenapa keluarga tergesa-gesa membawa keluar Anis dari hospital tersebut? Dan paling perit sekali kenapa dia tidak diberitahu pun.....

Rauf cuba menghubungi saudara terdekat Anis. Malangnya tiada siapa pun mengangkat. 

**************

Sesudah sampai ke rumah ibu bapa Anis. Rumah itu didapati kosong. Aneh...
Rauf kehairanan. Sedang dia memerhatikan rumah tersebut. Seorang wanita berumur lingkungan 50an menyapanya. 

"Adik mencari tuan rumah ka?" tanya wanita tersebut. 

"Ye, ke mana mereka pergi? " balas Rauf.

"Mereka baru sahaja berpindah dua tiga hari lepas."

"Berpindah ke mana?" Rauf tertanya-tanya.

"Tak taulah, tapi rasanya oversea... Ke luar negara." 

Rauf berkerut dahi. Ke luar negara? Kalau nak bawa Anis untuk mendapatkan rawatan ke luar negara pun tak perlulah sampai merahsiakannya. Ini umpama menjauhkan Anis darinya. Atau mungkin itu tujuannya sebenar. Tapi kenapa?

Rauf memacu kenderaannya.

********************

Sehari-hari tiada Anis membuatkan dirinya terasa begitu sunyi sekali. Apabila dia bermain alat muziknya, pasti ada sahaja yang tidak kena. Tidak. Dia sudah kehilangan jiwanya. Anis umpama jiwanya yang satu lagi. Dia sangat perlukan Anis.

"Budak bodoh tu mana dia pergi!" gumam Rauf dalam fikirannya.

Tiba-tiba dalam kesunyian di rumah Rauf, telefon Rauf berdering. Rauf mengangkat, disangkanya panggilan dari Anis.

"Ini Raufkan? Aku Syed Aidil.. Boleh kita berjumpa?"

AluNan - part 20



Ismail tercungap-cungap badannya berpeluh. Dia melihat-lihat ke tingkap.

"Ko ni kenapa?" soal Adi .  "Adi, kau kena bantu aku....diorang kejar aku Adi. Diorang kata nak bunuh aku! tolong Adi." pinta Ismail.

"Diorang tu sapa?"

"Lintah darat!!!"

Adi terkejut. dia mengucap panjang. Sahabatnya itu dikejar lintah darat. kenapa sebelum ini dia tidak tahu mengenai perkara ini.

"Buat apa kau pergi pinjam duit dekat diorang tu, Ismail!?" nada Adi bertukar keras.

"Aku....aku nak ubah hidup kita Adi...Duit pinjaman tu aku nak jadikan modal berniaga dengan seorang kawan. Akhirnya kawan aku tu tipu aku, dia hilang lesap dengan duit modal tu." jelas Ismail. Terdapat perasaan kesal berada di wajahnya.

"Berapa kau pinjam?" tanya Adi.

"Rm 10 000 tapi sekarang dah jadi RM 90 000...." jawab Ismail.

"Aku tak tau macam mana nak tolong kau Ismail...Aku sendiri pun bukannya ada duit.."

"Kita lari Adi..."

"Kenapa mesti aku sekali terlibat!?" Adi menjadi berang.

"Maafkan aku Adi. Rumah nih dah tak selamat. Kau...Kau juga mungkin tak selamat. Kalau mereka tak jumpa aku. Mereka akan cari kau!"

Adi mengeluh. Ke mana dia mahu pergi sekiranya kota Kuala Lumpur ini sudah tidak selamat.



 "Baiklah.. malam ni kita keluar. Keluar jauh dari kota nih.."